Adakah kursus PSH diiktiraf?
Bagi mereka yang mengikuti kursus separa masa dan sepenuh masa yang memenuhi kelayakan akademik yang diperlukan oleh institusi awam dan swasta memang diiktiraf. Begitu juga mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik dan kemasukan melalui pengalaman kerja, juga akan mendapat pengiktirafan, namun perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia melalui penilaian Pengakreditan Pembelajaran Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning - APEL).
Adakah mereka yang tiada kelayakan akademik boleh melanjutkan pelajaran ?
Ya boleh. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyediakan laluan kemasukan ?alternatif? kepada mereka yang kurang atau tiada kelayakan akademik tetapi mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Untuk malumat lanjut rujuk menu pengiktirafan di portal ini.
Agensi/institusi yang menawarkan kursus PSH?
Kursus PSH ditawarkan oleh Institusi awam/swasta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Selain itu terdapat banyak institusi latihan di bawah 14 kementerian lain juga menawarkan pelbagai kursus PSH. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk menu direktrori PSH untuk mendapatkan senarai kursus serta pihak-pihak yang menawarkan kursus.
Apakah bentuk pembiayaan yang boleh dipohon sekiranya saya ingin melanjutkan pelajaran melalui PSH.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Malaysia (PTPTN) menyediakan pinjaman bagi pengajian di peringkat diploma ke atas. Bahagian Biasiswa, KPT juga ada menyediakan perkhidmatan biasiswa seperti Mybrain15, Mymaster dan Myphd. Jabatan Pengajian Kolej Komuniti juga ada menyediakan Tabung Amanah mereka sendiri bagi tujuan Pembelajaran Sepanjang Hayat ini. Selain itu, di kementerian-kementerian/agensi lain juga ada menyediakan tabung pendidikan bagi membiayai pelajar-pelajar PSH terutama sekali Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Amanah Rakyat, Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan lain-lain.
Apakah inisiatif terbaru dalam pelaksanaan PSH?
Setiap tahun Kementerian ini, telah menyelaras pelbagai program PSH peringkat nasional bagi memperkasakan masyarakat melalui pembudayaan PSH. Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan melibatkan Institusi di bawah KPM dan juga Kementerian/Agensi lain. Antara program yang telah dilaksanakan dan memberi impak kepada pembudayaan PSH adalah:
  • Karnival PSH peringkat Zon dan Nasional;
  • Seminar PSH peringkat Nasional;
  • Direktori PSH peringkat Nasional;
  • Buletin PSH peringkat Nasional;
  • Penerbitan sisipan PSH dalam akhbar tempatan Peringkat Nasional;
  • Persidangan Antarabangsa PSH bersama ASEMME (Asia-Europe Meeting, Minister of Education); dan
  • Lain-lain lagi.
Manakala inisiatif terbaharu dalam pelaksanaan PSH adalah;
  • Seminar Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) Peringkat Nasional
  • Kajian Pemantapan Program PSH - Peningkatan Kerjasama Industri dengan IPT yang membekalkan program PSH.
  • Pembangunan Portal PSH Peringkat Nasional
Apakah kursus-kursus PSH yang boleh dimohon?
  • Kursus kemahiran atau hands-on jangka masa pendek, pada kebiasaannya dalam tempoh dua hari sehingga dua minggu untuk sesuatu bidang atau kerjaya, khusus bagi orang awam yang ingin pembelajaran secara praktikal dan memenuhi keperluannya dari aspek masa dan bidang kemahiran yang diperlukan.
  • kursus kemahiran serta pendidikan teknikal dan vokasional yang tidak melebihi tempoh enam (6) bulan secara sepenuh masa. Kursus ini adalah bertujuan untuk peningkatan kemahiran dan pengetahuan. Kursus tersebut boleh membawa kredit pembelajaran dan dapat dikumpulkan untuk pengiktirafan kelak seperti Kursus Modular di Kolej Komuniti.
  • Kursus-kursus formal separa masa (pendidikan jarak jauh) di institusi awam dan swasta yang menjurus kepada kelayakan ikhtisas di peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana ataupun Kedoktoran; dan

Kursus sepenuh masa bagi pelajar matang di istitusi awam dan swasta. yang menjurus kepada kelayakan ikhtisas di peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana ataupun Kedoktoran.

Bagaimanakah penerimaan orang ramai terhadap PSH? Adakah masyarakat mendapat pendedahan yang mencukupi?

Amat menggalakkan.  Ini boleh dibuktikan melalui penyertaan masyarakat dalam  program PSH yang telah dilaksanakan. Pada setiap tahun penyertaan PSH menunjukkan peningkatan.

Bagaimanakah PSH boleh membantu pembangunan sumber manusia dan menjana ekonomi rakyat negara ini?
Melalui program PSH yang dianjurkan mengikut keperluan masyarakat banyak membantu masyarakat dapat menjana ekonomi rakyat iaitu;
  • meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran;
  • meningkatan nilai-nilai kekeluargaan dalam kalangan mereka;
  • menjana pendapatan melalui kemahiran yang diperolehi;
  • pengiktirafan daripada industri; dan
  • lain-lain
Bagaimanakah untuk memohon kursus PSH dan bagaimana untuk mengetahui kadar yuran, tempoh dan lokasi kursus?
Untuk maklumat berkaitan sila rujuk menu Kursus PSH.
Siapakah yang boleh menyertai PSH?
Semua rakyat Malaysia tanpa mengira jantina, umur, lokasi, etnik dan agama.